Friday, December 17, 2010

Firma AS Labur RM1 Billion Bina Kilang Solar di Ipoh

Sebuah firma yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), Twin Creeks Technologies Incorporated (TCTI), akan melabur kira-kira RM1 bilion bagi membina kilang pengeluaran sel dan panel solar berkuasa tinggi di Kawasan Perindustrian Kanthan, Ipoh.

Kilang itu akan dibangunkan Twin Creeks Malaysia Sdn Bhd (TCMSB), iaitu syarikat usaha sama TCTI dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan sebuah lagi syarikat kerajaan negeri Perak, The Red Solar (M) Sdn Bhd (TRS).

Fasa pertama kilang itu akan memulakan operasi pada 2012 dengan kapasiti pengeluaran 100 MegaWatt (MW) pada 2012, sebelum ditingkatkan kepada 500 MW pada 2014. TCMSB merancang meneruskan pembinaan fasa kedua pada 2015 di kawasan seluas 15 hektar yang mengunjur sehingga ke kawasan Perak Hi-Tech Park (PHTP).

TRS dalam kenyataannya semalam berkata, teknologi yang akan digunakan TCMSB adalah berbeza dengan kilang lain yang beroperasi di Malaysia. Jelasnya, teknologi yang digunakan tidak membabitkan logam toksik dalam pembuatan sel solar. Teknologi unik diperkenalkan TCMSB itu, telah menghasilkan 28 paten di AS dan lapan paten antarabangsa. Semua bahan asas bagi penghasilan sel solar itu akan diperoleh daripada pembekal tempatan, terutama kaca, katanya.

Syarikat itu berkata, apabila beroperasi kelak, kilang TCMSB itu akan menyediakan 1,000 peluang pekerjaan yang merangkumi 500 pekerja separuh mahir, 200 dalam bidang kejuruteraan dan bakinya adalah dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. TCMSB juga menyasarkan menjadi pengeluar utama sel dan panel solar di pasaran tempatan manakala 30 peratus hasil pengeluarannya pula untuk pasaran Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah kilang berkenaan Selasa minggu depan. – BERNAMA



No comments:

Post a Comment