Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432


Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana pada hari ini kita masih dikurniakan nafas olehNya bagi meneruskan kehidupan untuk menambahkan amal ibadah sebagai bekalan sebanyak mungkin dan juga secara tak langsung dapat kita menyambut sambutan Maal Hijrah 1432 masihi pada hari ini. Maal Hijrah atau disebut juga sebagai Awal Muharram, adalah merupakan tahun baru di dalam kalender Islam yang mana telah meninggalkan bulan akhir (Zulhijjah) untuk memasuki bulan pertama di tahun baru (Muharram) berdasarkan takwim hijriah iaitu bulan-bulan di dalam kalender Islam.

Sepertimana tahun baru di dalam kalender konvensional (Gregorian), tahun baru di dalam kalender Islam juga menarik ramai individu terutamanya dari kalangan umat Islam untuk mencipta azam baru sebagai objektif yang harus dilunaskan yang merangkumi berbagai aspek kehidupan seperti kerjaya, pelajaran, kewangan dan sebagainya. Tujuannya adalah sama, iaitu menginginkan perubahan kepada yang lebih baik.

Lazimnya, sambutan Maal Hijrah diadakan bertujuan mengenang dan menghayati peristiwa hijrah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang mana peristiwa tersebut secara umumnya ditanda sebagai permulaan kiraan takwim hijriah (kalender Islam) oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Bagaimanapun, terdapat khilaf berkenaan tarikh yang tepat tentang hijrah Rasulullah S.A.W. yang dikatakan bermula pada 26hb Safar iaitu kira-kira 2 bulan lebih awal dari bulan Muharram. (Sila rujuk kitab Sirah & Ketamadunan Islam untuk sumber terperinci).

Begitu juga di negara kita di mana maal hijrah disambut secara beramai-ramai oleh umat Islam di setiap negeri. Dimulakan dengan doa akhir tahun pada sebelah petang bertujuan memperingati amalan-amalan pada tahun lalu, sama ada amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan  untuk meminta keampunan atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada kejahatan syaitan dan manusia.

Di sebelah malam sesudah solat Maghrib, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil, zikir-zikir dan selawat-selawat serta doa awal tahun yang mana fadhilatnya untuk mendorong memantapkan azam baru dalam menjalankan objektif (kebaikan) dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya. Di waktu itu juga akan berkatalah syaitan-syaitan, "Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Justeru itu, marilah kita bersama-sama menguatkan iman dan kebergantungan kita kepada Allah S.W.T. dan berselawat ke atas Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. kerana telah melakukan transformasi bagi umat Islam demi menyebarkan dakwah Islamiah yang seterusnya menjadi tanggungjawab kita sebagai waris Baginda untuk terus menghidupkan syiar Islam demi penyatuan dan kepentingan ummah.

Klik untuk lihat tarikh penting tahun 1432 Hijrah ->  Tarikh Penting Takwim Hijrah 1432

No comments:

Post a Comment