Thursday, December 9, 2010

Kanser Payudara Lelaki

Walaupun kanser payudara berlipat kali ganda lebih tinggi di kalangan wanita, lelaki juga sebenarnya berisiko mendapat penyakit ini. Berbeza dengan wanita, lelaki mempunyai hormon yang menghalang payudara dari membesar. Sebagaimana sel lain di anggota badan, sel di payudara juga mempunyai potensi untuk menjadi kanser walaupun ianya jarang berlaku. Terdapat 2 Jenis kanser payudara lelaki iaitu:

Adenocarcinoma
Hampir kesemua jenis kanser payudara berkembang di dalam kelenjar susu. oleh kerana itulah ia dipanggil adenocarcinoma dan terbahagi kepada dua jenis iaitu lobular carcinomas dan ductal carcinomas. Disebabkan lelaki biasanya tidak mempunyai kelenjar penghasil susu(lobules), kanser payudara jenis lobular biasanya hanya berlaku sebanyak 2 peratus pada adenocarcinoma lelaki. Manakala ductal carcinomas lebih berkemungkinan untuk berlaku dan ianya terbahagi kepada dua iaitu infiltrating carcinoma(IDC) dan ductal carcinoma in situ(DCIS).

Penyakit Paget pada Puting
Kanser jenis ini biasanya bermula dengan saluran payudara. Lama-kelamaan ia akan merebak ke bahagian kulit puting dan perlahan-lahan menyebabkan timbulnya kesan-kesan merah, berkerak dan bersisik. Sesetengah bahagian puting juga akan berasa gatal, melepuh, mengalami lelehan atau pendarahan. penyakit paget ini lebih banyak berlaku pada lelaki berbanding wanita dan ia lazimnya merebak di bahagian puting sahaja.

Antara beberapa faktor yang menyumbang ke arah kanser payudara lelaki ialah:

Penuaan
Tahap yang biasanya dikesan ialah pada usia 65 tahun, Bagaimanapun, lelaki yang lebih muda juga tidak terkecuali diserang penyakit ini.

Keturunan
Hampir 20 peratus lelaki yang menghidap kanser payudara biasanya mempunyai saudara-mara lelaki mahupun wanita yang pernah disahkan menghidap penyakit ini.

Obesiti dan Fizikal Tidak Aktif
Apabila sel-sel lemak menukarkan hormon lelaki kepada hormon wanita, lelaki yang mengalami masalah obesiti akan mempunyai tahap estrogen yang lebih tinggi dan ini boleh mendedahkan mereka pada risiko kanser payudara.

Alkohol
Diagnosis daripada pesakit menunjukkan lelaki yang mengambil minuman beralkohol lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini.

Penyakit Hati
Memandangkan hati mempunyai peranan yang penting dalam penghasilan hormon seks, lelaki yang mempunyai penyakit hati yang teruk seperti cirrhosis akan mempunyai kadar hormon wanita yang lebih tinggi berbanding kadar hormon lelaki.

Radiasi
Individu yang didedahkan pada radiasi di bahagian dada biasanya akan menimbulkan jenis kanser lain seperti Hodgkin atau Non-Hodgkin Lymphoma dan biasanya lebih berisiko untuk mendapat kanser payudara.

Sindrom Klinefelter
Walaupun jarang ditemui, pernah dikesan lelaki dengan keadaan ini (biasanya didapati sejak lahir yang mempunyai lebih kromosom X) mempunyai kadar hormon lelaki yang rendah dan mempunyai kadar estrogen yang tinggi.

Rawatan Estrogen
Lelaki yang menghidap kanser prostat kadangkala terpaksa mengambil estrogen sebagai terapi hormon. Ia juga berkemungkinan penyumbang kepada risiko mendapat kanser payudara.


No comments:

Post a Comment