Thursday, December 16, 2010

Hari Asyura (10 Muharam)

Di dalam bulan Muharam ini terdapat satu hari yang dinamakan Hari Asyura yang jatuh pada tanggal 10 Muharram pada setiap tahun hijrah. Ianya berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s.. Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam.

Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan, orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. - (Riwayat Bukhari).

Imam Ibnu al-Qayyim menyebut di dalam Zadul Ma’ad: “Puasa Asyura ada tiga darjat":
  • Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram. Ini yang paling sempurna.
  • Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis.
  • Berpuasa 10 Muharram sahaja.”
Disunatkan berpuasa 9 dan 11 Muharram agar ibadah kita sebagai umat Islam berbeza dengan ibadah orang-orang Yahudi yang berpuasa pada hari 10 Muharram sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Jika aku masih lagi hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa juga pada hari 9 Muharram.”

Selain itu, terdapat berbagai-bagai peristiwa penting yang terjadi di dalam sejarah Islam pada 10 Muharam iaitu:

  • Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.
  • Allah jadikan bulan, bintang, matahari dan cakrawala.
  • Allah jadikan Arasy, Loh Mahfuz, Kalam dan Malaikat.
  • Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.
  • Allah menjadikan Siti Hawa.
  • Allah menjadikan Syurga.
  • Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.
  • Taubat Nabi Adam diterima Allah.
  • Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.
  • Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.
  • Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya. 
  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
  • Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera firaun.
  • Firaun dan pengikutnya tenggelam ke dalam lautan tersebut.
  • Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Selain itu terdapat juga beberapa amalan sunat yang dianjurkan dilakukan pada Hari Asyura antaranya:

  • Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  • Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  • Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha. 
  • Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  • Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  • Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  • Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  • Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  • Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  • Membaca Surah Al-Ikhlas 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  • Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Surah Al-Ikhlas 11 kali.
  • Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  • Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada api neraka.


No comments:

Post a Comment