Wednesday, November 24, 2010

Pengertian Wasiat dan Hibah

Wasiat adalah ikrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak selepas dia mati. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah Ayat 180).

Antara syarat-syarat yang penting dalam penulisan wasiat ialah wasiat tersebut tidak boleh dibuat kepada waris yang berhak kepada pusaka. Wasiat tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati, dan wasiat tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh undang-undang Syariah.

Rasional mengapa wasiat tidak dibolehkan kepada waris ialah kerana mereka mendapat pembahagian pusaka secara faraid. Pemberian secara wasiat kepada waris yang berhak pusaka akan menganggu imbangan bahagian yang telah ditetapkan oleh Syarak. Sungguhpun demikian, wasiat yang dibuat bertentangan dengan syarat-syarat tersebut boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada semua waris-waris berkenaan.

Hibah pula berasal daripada perkataan arab bermaksud pemberian semasa hayat. Hibah ialah akad yang dapat memindah milik sesuatu yang dibuat ketika hidup dan dibuat secara sukarela. Menurut hukum syarak, Hibah adalah suatu akad pemberian harta sendiri kepada seseorang tanpa balasan yang dilakukan secara hidup dan sukarela. Hukum melaksanakan hibah adalah Sunat sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran (Surah Al-Baqarah ayat 177).

Hibah mempunyai pengertian hampir sama dengan sedekah dan hadiah. Cuma ketiga-tiganya berbeza dari segi tujuan dan natijahnya. Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi rukun dan syarat hibah, iaitu pemberi hibah, si penerima hibah, barang yang dihibahkan dan ijab dan kabul.

Pembahagian harta di bawah Hibah tidak perlu mengikut faraid. Pembahagian lebih dari satu pertiga harta dan kepada waris sendiri dibenarkan. Penghibah boleh menentukan sendiri siapakah yang layak menerima harta hibah tersebut. Apa yang perlu ditentukan ialah ada unsur keadilan semasa membuat pengagihan harta. Pembahagian harta disunatkan samarata di antara anak lelaki dan anak perempuan.


No comments:

Post a Comment